Jujur. Saya mahu jujur pada diri sendiri. Saya ingin terusi kejujuran ini walau saya tahu pahit itu akan terasa di mana-mana. Ya Allah, permudahkanlah perjalanan ini agar rasa pahit itu mampu menjadi madu.
Saya katakan pada diri, andai itu telah ditetapkan untuk kebaikan saya, maka Dia akan mudahkan jalan ini. Tetapi Ya Allah, semakin saya menuju untuk itu, makin terasa susahnya lorong terpilih ini. Atau mungkin sahaja saya tidak cukup kuat mengharung dugaan, kerana hujungnya pun saya tidak pasti bagaimana.
Saya memilih untuk mengikut arus. Saya berdoa setiap penghujung solat agar pengakhirannya seperti sahaja setiap wanita impikan dalam dunia ini. Ini bukan ‘perjudian’. Walau yang buruk datang, saya mahu katakan Dia sedang menguji hambaNya. Andai yang baik tiba, saya minta Dia terus berikan kami kekuatan menjadi hambaNya yang tahu erti bersyukur.
******
Dua bulan yang saya harungi dengan sedikit rasa sesak. Sesak dengan kecintaan saya pada sekolah, anak-anak murid dan buku-buku pelajaran. Sesak juga dengan masa-masa bilamana hati, perasaan dan minda bertingkah. Sejujurnya saya letih. Mengapakah kebahagiaan seperti sahaja sukar untuk didekati. Seperti juga ilusi air, semakin mendekat..semakin jauh pula ia kelihatan, sehingga terkadang kepenatan mendahului semangat yang pada mulanya berkobar. Pinjamkan saya kekuatan agar rasa letih dan penat ini tidak menjejaskan amanah terhadap anak-anak murid yang dipikul saat ini. Tiupkan saya semangat supaya saya tetap gagah berdiri, walau di kiri dan kanan serasanya seperti ada batu-batu kecil yang menghalang.
Ya Allah,
Ringankan beban perasaanku,
Dekatkan aku dengan rahmatMu,
Pinjamkan aku kekuatanMu,
Berikanlah aku yang terbaik dariMu.
P/s: Allah telah mentakdirkan saya mengharungi hari semalam dengan segala apa yang saya punyai. Seadanya. Pun sudah cukup menyempurnakan kehidupan saya sehingga saya mampu bangun setiap pagi, mengharungi hari baru dengan senyuman. Saya harus didik diri bahawa kesempurnaan itu telah sedia ada, sangat subjektif dan saya mesti menghargainya.



